Pages

Friday, March 29, 2013


DIALEK KELANTAN DI KEDAH?

Akhirnya kami tiba di stesen bas Baling. Aku dan Awin dijemput oleh ayah dan adiknya, iaitu Pak Bakri dan Awa. Setibanya di rumah Awin, aku disambut mesra oleh kaum kerabatnya terutamanya ibu Awin yang sememangnya lembut budi bicaranya. Seterusnya kami menunaikan solat kerana tibanya kami di Baling sudah hampir waktu maghrib. Setelah masuknya waktu maghrib aku menunaikan solat dan membersihkan diri. Ibu Awin meminta kami berehat dahulu kerana perjalanan yang ditanggung oleh kami amat memenatkan. Setelah berehat beberapa jam dan menunaikan solat Isyak, kami ke ruang tamu untuk membantu saudara-mara Awin yang lain menyiapkan persiapan majlis perkahwinan sepupunya.

          Aku hanya mendengar perbualan mereka. Kemudian aku tersedar terdapat penggunaan dialek Kelantan dalam perbualan mereka itu seperti kelek (balik), mu (kamu), licing (licin) dan sebagainya. Aku bertanya kepada Awin bagaimana dialek Kelantan boleh berada di daerah Baling. Awin menyatakan kemungkinan terdapat ramai penduduk daerah Baling yang berasal daripada Kelantan akibat daripada perkahwinan, perpindahan dan lain-lain.

ULASAN : Walau dimana pun kita berada, kita seharusnya menghormati budaya orang lain.



DILARANG MAKAN, TETAPI BAGAIMANA DENGAN MEROKOK?

Setelah menunggu selama 10 minit, bas itu akhirnya tiba. Pemandu bas tersebut menanda tiket sebagai bukti tiket tersebut sudah tidak sah laku pada hari berikutnya. Sebelum menaiki bas, pemandu tersebut sempat berpesan supaya tidak makan dan minum di dalam bas kecuali hanya air mineral. Terdapat dua orang pemandu bas tersebut. Kami akur dengan arahannya dan kami mengambil tempat duduk yang juga nombornya hanya sekadar hiasan. Pemandu bas tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan kerana masih terdapat penumpang yang tiada di dalam bas mengikut jumlah tiket yang ada padanya. Pemandu bas 1 sangat marah kerana sudah menunggu agak lama, pemandu bas 2 hanya senyap mendengar leteran kawannya itu. Akhirnya 2 orang penumpang bas tersebut tergesa-gesa menaiki bas, mungkin telah pergi membeli sesuatu. Pemandu bas 1 tidur di tempat tidur yang telah disediakan khas buat mereka dan pemandu bas 2 menyambung perjalanan ke Butterworth.

Sepanjang berada di dalam bas tersebut, aku hanya merenung ke luar jendela bas bagi menikmati pemandangan yang indah pada hari tersebut walaupun pelbagai peristiwa berlaku sepanjang perjalanan ke Baling. Aku juga terlena dibuai kesejukan penghawa dingin di dalam bas tersebut. Hampir 1jam berada di dalam bas tersebut dalam keadaan yang bosan kerana Awin sudah tertidur. Awin yang terjaga mempelawa diriku untuk makan roti, namun dek kerana takut akan pesanan pemandu bas itu tadi aku hanya menolak sopan. Awin sememangnya berani orangnya. Kami sudah hampir tiba di Butterworth, tiba-tiba pemandu bas 1 bangun daripada lena panjangnya dan menyalakan seputung rokoknya tanpa sempat tiba di stesen bas Butterworth, terpaksalah kami menghidu asap rokoknya selama 5 minit. Kqmi tidak dibenarkan makan dan minum sedangkan dia boleh merokok.

ULASAN : Pemandu bas tersebut seharusnya menghormati kami sebagai penumpang bas kerana asap rokoknya boleh menjejaskan kesihatan kami. Sekiranya kami boleh menghormati permintaannya untuk tidak makan dan minum di dalam bas yang sememangnya tidak menjejaskan kesihatan sesiapa, mengapa tidak dirinya menghormati kami. Kita seharusnya mengamalkan sikap bertolak-ansur antara satu sama lain.

MEMINTA-MINTA

Akhirnya kami sampai di stesen bas Gopeng, Ipoh. Seterusnya kami ke kaunter untuk bertanyakan tiket ke Butterworth pula. Kami mengambil tiket ke Butterworth pada pukul 1.30petang kerana hanya bas tersebut yang paling awal. Sementara menunggu ketibaan bas tersebut, kami mencari bekalan makanan untuk dimakan sambil menunggu. Kami menunggu sehingga pukul 2.00petang, bas tidak juga tiba. Kami ke kaunter untuk bertanyakan keberadaan bas tersebut. Matlamat kami mengambil bas awal adalah untuk tiba awal di Baling.

        Kami terus menunggu ketibaan bas tersebut dan berharap bas tersebut tidak tiba terlalu lewat. Ketika menunggu, aku terlihat kelibat seorang mak cik yang sudah agak tua mengelilingi stesen bas tersebut dan hampir pergi ke setiap orang yang berada di stesen bas tersebut. Aku perhatikannya sehingga mak cik tersebut hampir denganku, Awin yang perasan akan pemerhatianku terhadap mak cik itu terus meminta aku tidak mengendahkan permintaan mak cik itu sekiranya dia meminta sesuatu kepadaku kerana Awin sudah biasa melihat mak cik itu di stesen bas Gopeng. Mak cik itu akan menggunakan alasan dia sudah tiga hari tidak makan sedangkan keadaan mak cik itu kelihatan amat bertenaga bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

ULASAN: Selagi kita mampu untuk melakukan sesuatu pekerjaan, janganlah kita meminta-minta seperti diri kita ini tidak cukup sifatnya. Masih ada masyarakat yang tidak cukup sifatnya tetapi berupaya untuk mencari rezeki menggunakan anggota badannya yang lain.

MALU BERTANYA SESAT JALAN

Masih lagi mengenai kisah di sepanjang perjalananku ke Baling. Disebabkan terpaksa duduk bersebelahan dengan seorang kakak warga Indonesia, aku sedikit kekok kerana bukan rakyat 1Malaysia yang biasa aku lihat dari jarak dekat. Dia telah menyua makanan ringan kepadaku, mungkin kerana tidak mengenali dirinya aku menolak dengan sopan agar dia juga tidak terasa dengan diriku. Aku perlu menunjukkan sikap rakyat Malaysia yang penuh dengan sopan santun. Bas mula bergerak, belum sempat bas meninggalkan bumi Tanjung Malim, dia bertanya kepadaku di mana keberadaannya sekarang. Aku yang sedikit binggung menjawab dia kini berada di Tanjung Malim. Aku sebenarnya tidak berapa faham bahasa pertuturannya.

          Itu merupakan kali pertama dia menaiki bas untuk pulang ke Simpang Pulai setelah berkunjung ke rumah sahabatnya di Seremban. Dia amat ramah orangnya walau kali pertama bertemu denganku dan bertanya kepadaku di mana dia harus berhenti untuk ke Simpang Pulai. Aku yang juga tidak fasih mengenai jalan bertanyakan kepada penumpang bus yang lain. Kemudian suaminya berada dalam talian ingin bercakap denganku dan meminta pertolongan kepadaku supaya meminta pemandu bus berhenti di hentian rehat Simpang Pulai. Aku menyampaikan pesan suaminya kepada pemandu bas. Dia mengucapkan terima kasih kepadaku kerana membantunya. Dia pun turun setibanya di hentian rehat Simpang Pulai.

ULASAN: Kita seharusnya bertanya sekiranya tidak mengetahui sesuatu perkara agar tidak menyampaikan maklumat yang salah kepada orang lain. Kita juga perlu bertanya agar tidak sesat jalan seperti yang dilakukan oleh warganegara Indonesia itu.

TIDAK TEPATI MASA

Akhirnya merasa juga aku untuk berkunjung ke rumah Awin di Baling, Kedah. Sudah banyak kali aku dipelawa untuk ke rumahnya tetapi ibuku pasti tidak akan membenarkannya kerana khuatir akan menyusahkan keluarga Awin untuk menyediakan makan dan minum untuknya sepanjang berada di rumah Awin. Ibu dan keluarga akan pulang ke kampung bagi menguruskan majlis perkahwinan adik tiri ayah di Kelantan. Aku memberanikan diri untuk memberitahu kepada ibu niatku untuk ke rumah Awin, iaitu menghadiri majlis perkahwinan sepupu Awin. Tidak disangka ibu membenarkanku pergi ke rumah Awin dan berpesan agar aku menjaga diri di tempat orang.

          Pada pagi itu, aku bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang perlu dibawa untuk ke rumah Awin. Kami telah menempah “prebet” untuk mengambil kami pada pukul 10.30pagi kerana bas akan bergerak pada pukul 11.00pagi. Sudah hampir pukul 10.40pagi, bayang-bayang kereta tersebut langsung tiada, perkara ini telah membuatkan kami berasa amat geram. aku menelefon “prebet” tersebut dan menanyakan keberadaannya. Mereka muncul pada pukul 10.49pagi, kami yang hampa hanya berserah sekiranya ditinggalkan bas. Alhamdulillah kami sempat sampai tepat pada masanya. Kami menaiki bas tersebut dan mencari tempat duduk kami, tetapi hampa kerana nombor yang tentera di tiket hanya sekadar hiasan sahaja. Kami diminta duduk dimana-mana sahaja yang terdapat kekosongan tempat duduk.

ULASAN : Tidak sepatutnya seseorang itu berjanji untuk menepati atau menunaikan sesuatu perkara sekiranya tidak mampu menunaikannya, bersikap jujurlah sekiranya tidak mampu untuk melakukannya.