Pages

Friday, April 5, 2013

                   LAMAN SOSIAL TETAPI TIDAK BERSOSIAL.



Siapa yang tiada laman sosial ‘facebook’ atau muka buku pada masa kini? Agak mustahil kerana adik bongsu saya yang baru berusia 11 tahun juga mempunyai akaun bagi laman sosial ini. Bukan saya hendak menceritakan mengenai status-status yang dipaparkan oleh rakan-rakan saya tetapi kesan daripada fenomena yang dibawa oleh muka buku ini. Sememangnya muka buku ini dapat mengeratkan hubungan kita dengan rakan-rakan yang lain yang jauh daripada diri kita, namun pada masa yang sama hubungan kita dengan masyarakat sekeliling akan terjejas. Akibat daripada kita hanya terperuk di hadapan komputer riba, rakan disebelah kita akan diabaikan secara tidak langsung. Sekiranya rakan kita itu juga melayari muka buku, maka tiadalah komunikasi yang berlaku antara mereka. Malah terdapat juga rakan yang berkomunikasi melalui muka buku walaupun hanya duduk sebelah-menyebelah kerana malas untuk berbicara secara realiti. Mungkinkah selepas ini kita membeli sebuah patung robot untuk berbalas komunikasi dengan rakan kita pada masa hadapan?

ULASAN: Gunakanlah kemudahan yang sedia ada dengan sebaik yang mungkin. Kita mungkin akan lupa cara untuk berkomunikasi dengan betul bersama dengan masyarakat sekiranya hanya bergantung kepada kemudahan yang kadangkala memudaratkan diri kita. Salah faham mungkin akan berlaku kerana pertuturan dan penulisan merupakan sesuatu yang berbeza. Sekiranya kita bertutur, apa yang hendak kita sampaikan akan lebih cepat dan mudah untuk difahami. Selamat berkomunikasi. J




KOKRING?

Apa itu kokring? Hanya saya dan rakan serumah sahaja yang tahu. Itu merupakan istilah yang digunakan oleh saya dan adik-beradik di rumah pada asalnya. Saya pun tidak tahu bagaimana perkataan ini boleh muncul, namun istilah ini merupakan singkatan daripada perkataan tengkorak kering. Walaupun bunyinya seperti perkataan yang kasar, namun apabila diujarkan kepada seseorang yang ditujukan, saya akan mengukirkan senyuman. Contohnya rakan kita menyampaikan sesuatu teka-teki yang menguji diri kita dan kita memikirkannya secara logik sehingga kita kekeringan jawapan tetapi jawapan yang sebenarnya menghampakan kita, lalu kita pun mengatakan “Kokring hang aih (sambil tersenyum)”. Contoh perbualan:

Sahabat A: Ada 23 ekor lembu. salah seekor mengangkat dirinya sebagai ketua. Ketua lembu tersebut mengeluarkan perintah supaya anak buahnya lintas jalan. Dia pun lintas jalan juga. Sampai diseberang ketua bilang 1, 2, 3 sampai 22. Cuma ada 22 ekor. Mengapa?

Sahabat B: Sebab salah seekor adalah BKU, binatang kurang upaya. Ekor dia kudung. Jadi tinggal 22 ekor..hahaha...

Sahabat A: Salah. Sebab dia lembu. Lembu memang tak pandai mengira sebab tak pernah belajar Matematik...hahaha

Sahabat B: Kokring hang aih..
           
            Situasi ini sama dengan masyarakat Kelantan yang menegur sahabat yang sudah lama tidak dilihatnya. contohnya, "Weyh nate ni..lamo dop napok mung...gi mano?" (Weyh binatang ini...lama tidak nampak...pergi ke mana?). bagi seseorang yang bukan penutur jati akan merasakan bahasa yang digunakan kasar untuk menegur rakannya itu tetapi bagi diri si penutur itu sesuatu yang mesra.

ULASAN: kita harus berhati-hati menggunakan "perkataan mesra" tersebut kerana tidak semua dapat menerimanya. Selamat bermesra bersama rakan-rakan. :)






LIRIK LAGU SEPERTI CERITA KITA?



Pernah atau tidak ketika kita mendengar sesebuah lagu itu dan secara kebetulan lagu itu sama dengan situasi kita? Apabila kita merasakan lagu tersebut sama dengan situasi kita, pastinya kita akan mengulangi lagu tersebut tanpa merasa bosan, malah tersenyum kambing seorang diri lagi sekiranya itu merupakan kisah yang menggembirakan. Sebaliknya pula bagi kisah yang menyedihkan seperti kehilangan seseorang yang disayangi dalam hidup, putus cinta dan sebagainya. Seandainya kita pernah merasa perasaan cinta, pastinya kita mempunyai cinta pandang pertama atau kita pernah menyukai seseorang dan memberanikan diri mendekati dirinya seperti lirik lagu ini.

Lirik Lagu Aku Suka Dia – Ainan Tasneem

Aku lihat dia disana
Aku ingin mendekatinya
Aku cuba menghampirinya
Lalu aku menyapa dia

Dia pun membuka bicara
Dan aku mulai mengenalnya
Kita mulai bermain mata
Mula timbul rasa bahagia

Bila dia, mendekati diriku
Hatiku rasa sesuatu
Bila dia, senyum pada diriku
Hatiku rasa tak menentu

Kekadang hati ku bertanya
Adakah dia dah berpunya
Kerana diriku berasa
Aku jatuh hati padanya

Aku ingin memilikinya
Aku ingin menjaga dia
Aku ingin mencinta dia
Aku ingin hidup dengannya

Bila dia, mendekati diriku
Hatiku rasa sesuatu
Bila dia, senyum pada diriku
Hatiku rasa tak menentu

Mungkinkah aku, kan berjumpa dengannya
Untuk meluahkan rasa
Mungkinkah aku, kan berdiam diri saja
Menunggu cinta darinya

Ku terima satu nota darimu
Yang tertulis ‘Aku suka kamu’

Bila dia, mendekati diriku
Hatiku rasa sesuatu
Bila dia, senyum pada diriku
Hatiku rasa tak menentu

Akhirnya kini ku kan mampu ceria
Diriku sangat gembira
Akhirnya kini, aku mulai bahagia
Menerima cinta darinya

ULASAN : Pada pandangan saya, setiap lirik lagu yang dihasilkan berdasarkan apa yang penulis lirik itu sendiri itu alami atau lihat berdasarkan pemerhatiannya terhadap masyarakat sekeliling. Sekiranya penulis lirik itu tidak mengalaminya sendiri dan tidak melihat orang sekeliling bagaimana dia hendak menulisnya? Kisah kita mungkin juga sama dengan kisah orang lain, seni itu milik masyarakat. 

NAMA DIRAHSIAKAN

[Tahukah pembaca semua mengenai seorang artis ini yang telah berkahwin secara senyap-senyap? Bukan itu sahaja, dia juga sudah mempunyai seorang anak. Joyah ada seorang sumber yang boleh dipercayai mencerita kisah artis perempuan seorang ini. Dia baru sahaja bertapak dalam bidang seni ini melalui rancangan realiti televisyen, nama dia Bedah (bukan nama sebenar). Kita bukannya hendak memalukan dia, cuma hendak tahu mengapa dia merahsiakan perkahwinannya daripada masyarakat. Takut tidak laku ke? Bukankah perkahwinan itu sesuatu yang suci dan murni. Tidak faham Joyah dengan artis zaman sekarang ini.]

                Mengapa kita mengambil inisiatif untuk merahsiakan nama seseorang itu apabila ingin menyampaikan sesuatu cerita yang mungkin akan menimbulkan kontroversi bagi dirinya? Jawapannya kerana ingin menyampaikan cerita itu kepada dirinya tetapi melalui pendekatan yang berbeza disamping menjaga nama baiknya. Kita tidak mahu menyampaikan secara terus tetapi ingin memberikan peluang kepadanya untuk memberikan sebab yang mungkin kita sendiri tidak tahu.

Terdapat juga situasi kita merahsiakan nama kita apabila ingin menanyakan sesuatu kepada orang yang lebih pakar mengenai sesuatu. Contohnya soalan-soalan mengenai agama seperti ‘Saya Maimun (bukan nama sebenar) ingin bertanya kepada ustaz mengenai perkahwinan seorang anak luar nikah sama ada sah atau tidak di sisi agama?’ Mungkin gadis ini mahu mengelakkan dirinya daripada dikenali demi menjaga nama baiknya serta keluarga.

ULASAN : Sekiranya seseorang itu meminta kita merahsiakan sesuatu perkara atau kejadian, pasti dia mempunyai sebabnya yang tersendiri. Kita haruslah menjaga rahsianya sebaik yang mungkin selagi diri kita mampu. Kadangkala diri kita tidak mampu menjaga rahsia yang besar seorang diri. Pesan seorang sahabat kepada saya “Janganlah kita membuka aib diri orang lain sekiranya kita tidak mahu aib kita dibuka kelak”.







MERAJUK?


Anda pasti pernah merajuk dengan seseorang bukan? Mungkin dengan kekasih hati anda, mungkin juga dengan rakan, dan mungkin juga dengan ibu bapa? Merajuk menurut Kamus Dewan dan Pustaka bermaksud menunjukkan  rasa tidak suka ( seperti tidak mahu bercakap, tidak mahu berkawan dan lain-lain). Mengapa kita merajuk? Itu yang paling penting. Kita mungkin merajuk kerana perkara yang berlaku itu kita tidak suka ataupun apa yang kita hajati tidak tercapai.

Contohnya, kita meminta sebuah telefon bimbit yang mahal daripada ayah kerana berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam sesuatu ujian dan ayah telah berjanji akan menunaikan permintaan kita itu, namun ayah terlupa untuk membeli telefon bmbit itu buat sekian lamanya. Kita akan bertindak tidak bertegur sapa dengan ayah sebagai tanda kita protes atau merajuk. Si ayah yang memahami tindakan yang dilakukan si anak akan segera membeli barangan yang dihajatinya supaya berlaku komunikasi antara mereka seperti biasa, maka proses merajuk itu tadi dapat dihapuskan secara serta-merta.

Ayah saya juga seorang yang kuat merajuk berbanding dengan ibu saya. Walaupun ayah seorang pendiam dan hanya bersuara apabila berlaku perkara yang tidak menyenangkan hatinya, ayah seorang yang amat kuat merajuk. Ibu pula seorang yang jarang merajuk kerana katanya ayah tidak pandai memujuk, tetapi ibu seorang yang pandai memujuk suami dan anak-anaknya.

ULASAN : Merajuk merupakan suatu perasaan yang unik. Pada mulanya kita akan merasa sakit hati, tetapi setelah dipujuk kita akan merasakan sesuatu yang  berbeza seperti rasa disayangi, rasa dihargai, rasa bahagia dan sebagainya. Kita perlulah merajuk kena pada tempatnya. Selamat marajukkan diri. J